
Bagai bulan jatuh ke riba, dapat memetik si maharani dari susur galurnya.
Sejak kecil jejaka berusia 35 tahun itu sememangnya sudah sebati dengan darah masyarakat Minangkabau kerana kedua-dua ibu dan bapanya berasal dari Sumatera Barat, Indonesia yang sinonim dengan masyarakat itu.
Angga Sangputra Mhd Safe’i dilahirkan di Malaysia selepas ibu dan bapanya berhijrah ke negara ini lebih 37 tahun lalu.
Meskipun seakan menyatu dengan budaya dan masyarakat Melayu di Malaysia yang mempunyai pelbagai resam dan budaya, namun jiwanya kepada Minangkabau begitu tebal.
Namun dia tidak menyangka bertemu jodoh dengan gadis asli Minangkabau dari Sumatera Barat. Segala-galanya bermula apabila saudara ibunya memperkenalkan isterinya ketika dia dan keluarga ketika mengunjungi Desa Salimpaung di Kecamatan Salimpaung pada April tahun lalu.
Usai empat mata bertentang akhirnya mereka sepakat untuk bertunang pada Jun tahun yang sama.
Pada 5 Januari lalu Angga dan pasangannya, Enggla Putri Adha Zalwiardi sempurna diijabkabulkan di Salimpaung, Batusangkar dan turut diadakan majlis persandingan di pihak lelaki bertempat di Panampuang, Bukit Tinggi, Sumatera Barat di Indonesia.
Majlis resepsi pasangan pengantin itu mengikut budaya tradisional masyarakat Minangkabau yang berlangsung selama dua hari di pihak lelaki dan perempuan.
Angga tidak dinafikan begitu teruja menjadi raja sehari. Apatah lagi, majlis dan cara persandingan yang berbeza daripada masyarakat Melayu di Malaysia.
“Perkahwinan saya di sana mengikut adat Minangkabau hampir seratus peratus antaranya maresek iaitu pihak keluarga perempuan bertemu dengan keluarga bakal pengantin lelaki untuk mengetahui kesesuaian bakal menantu mereka.
“Selepas itu terdapat acara berembuk iaitu bakal suami akan dijemput untuk ke rumah keluarga belah perempuan yang turut disertai keluarga daripada kedua-dua pihak bakal pengantin,” katanya.
Selain itu dalam proses perkahwinan Angga dan isteri, mereka juga melalui adat seperti babako-babaki (upacara pra perkahwinan oleh kerabat belah bapa), mahanta siriah (bakal pengantin meminta kebenaran dari kedua ibu bapa) dan manimang dan batimbang tando (acara bertukar tanda).
Jelasnya, sedikit perbezaan yang boleh dikongsikan ketika persandingan ialah mereka perlu berada di atas pelamin pada waktu masa yang agak panjang.
“Selepas majlis akad nikah, terus diadakan majlis resepsi kami pada jam 12 tengahari dan kami perlu berada di atas pelamin sehingga jam 6 petang.
“Dalam tempoh itu, kami hanya perlu menanti tetamu yang ingin datang mengambil gambar sambil menikmati persembahan orgen iaitu kugiran,” katanya.
Paling tidak dapat dilupakan dan menjadi idaman Angga pastinya menyarung pakaian tradisional masyarakat Minangkabau ketika majlis persandingan.
Jelasnya, terdapat tiga busana tradisional yang dapat mereka sarungkan ketika sepanjang majlis perkahwinan iaitu Baju Batu Sangkar (Tangkuluak Sungayang), Suntiang dan Koto Gadang. Manakala ketika majlis akad nikah Angga menyarung baju putih, seluar slack dan berjaket sementara isterinya berkurung kebaya.
“Persiapan untuk memakai pakaian tradisional ini sememangnya mengambil masa yang agak lama kerana ia perlu diletakkan di tempat yang betul supaya tidak canggung atau melanggar budaya.
“Saya dan isteri merasa begitu besar hati dapat menyarungkan baju masyarakat Minangkabau yang tidak lagi disarungkan untuk pakaian harian,” katanya.
Sebelum mengakhiri perbualan, Angga menitipkan peribahasa Minang ini kepada penulis, ketek banamo gadang bagala.
Jelasnya, itulah pepatah yang digunakan orang yang berketurunan Minangkabau yang memakai adat perpatih.
“Jika ketika kecil dipanggil Angga, tapi apabila sudah menikah, nama Angga sudah tidak dipakai lagi jika ke kampung dan bertandang ke sebelah rumah keluarga perempuan.
“Dalam tradisi Minangkabau Gala ialah gelar akan diberikan kepada lelaki hanya berketurunan dan susur galur Minangkabau sahaja. Kalau lelaki itu keturunan selain Minangkabau dan berkahwin dengan gadis Minangkabau, lelaki itu tidak akan mendapat Gala,” jelasnya.
SUMBER : https://www.hmetro.com.my/WM/2024/01/1053914/6-jam-atas-pelamin




